
SARATOK, 27 Oktober – Seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat membabitkan kes curi sebuah motosikal di perhentian bas Simpang Krian, di sini, pada 30 September lalu.
- Suspek ditahan oleh anggota BSJD di sebuah ladang kelapa sawit di Awik.
- Suspek mengaku melakukan kegiatan itu bersama dua rakan; motosikal diangkut menggunakan sebuah kereta ke rumahnya di Nanga Atoi.
- Polis merampas komponen motosikal; suspek mempunyai lima rekod lampau dan ujian air kencingnya positif dadah.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) di sebuah ladang kelapa sawit di Awik, Saratok, pada Isnin.
Suspek turut mengaku melakukan kegiatan berkenaan bersama dua lagi rakannya.
Tambahnya, motosikal yang dicuri kemudiaannya diangkut menggunakan sebuah kereta dan dibawa ke rumahnya di Nanga Atoi, Awik.
DSP Mathew berkata, polis turut merampas beberapa komponen motosikal termasuk kerangka, tangki minyak berwarna hitam, ekzos dan set penutup motosikal.
Semakan turut mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan kesalahan bawah Akta Racun, Akta Dadah Berbahaya dan Kanun Keseksaan.
Selain itu ujian saringan air kencing suspek juga didapati positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek juga turut dikaitkan dengan kes curi getah skrap di Depo Ulu Awik.