
IPOH, 27 Oktober – Polis Perak berjaya menyelesaikan sembilan kes membabitkan perbuatan menyimbah cat dan khianat menggunakan api susulan penahanan tiga lelaki tempatan berusia 19 tahun di Pulau Pinang pada 22 Oktober lalu.
- Polis menahan suspek dalam tiga serbuan di Tanjong Bungah, Bukit Mertajam dan Machang Bubok.
- Rampasan termasuk tiga buah kereta, telefon bimbit dan pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian.
- Suspek tiada rekod jenayah lampau dan mengaku terlibat dalam kegiatan khianat.
- Mereka menerima upah RM500 hingga RM1,000 setiap tugasan melalui individu tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, ketiga-tiga suspek itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Tanjong Bungah, Bukit Mertajam dan Machang Bubok.
Pada masa sama, polis turut merampas tiga buah kereta, telefon bimbit serta pakaian yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
“Ketiga tiga suspek ini tidak mempunyai sebarang jenayah lampau. Siasatan awal juga mendapati ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam kegiatan khianat di beberapa lokasi.
“Mereka menerima upah RM500 sehingga RM1,000 bagi setiap tugasan melalui individu yang tidak dikenali dan hanya berhubung menerusi aplikasi whatsapp,” katanya pada sidang media di Ipoh.
Kes berkenaan melibatkan dua kejadian di Taiping, Perak, manakala tiga kes di Kedah, dua di Johor serta masing-masing satu di Pulau Pinang dan Selangor.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda mengikut kesalahan.