
TUNJANG, 27 Mac– Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki cuba menyeleweng diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak berhampiran sempadan Bukit Kayu Hitam-Thailand.
- Pemeriksaan lori menemui tangki tambahan diubah suai mengandungi lebih 250 liter diesel disyaki bersubsidi.
- Sebuah stor ditemui menyimpan kira-kira 2,000 liter diesel dipercayai subsidi untuk tujuan penjualan semula.
- Sindiket dipercayai membeli diesel subsidi lalu menjual semula pada harga lebih tinggi untuk keuntungan berganda; kes dirujuk kepada KPDN.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, tangkapan dibuat dalam Op Tiris kira-kira pukul 10 pagi, 25 Mac lalu.
Jelas beliau, suspek berusia 32 tahun itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika mengisi diesel ke dalam tangki asal sebuah lori.
Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan kad subsidi diesel atau fleet card melibatkan beberapa syarikat.
Turut ditemui tangki tambahan yang diubah suai mengandungi lebih 250 liter diesel disyaki bersubsidi.
“Hasil siasatan membawa kepada penemuan sebuah stor di Jalan Lebuhraya yang menyimpan kira-kira 2,000 liter diesel dipercayai subsidi.
Sindiket dipercayai membeli diesel pada harga subsidi sebelum menjual semula pada harga lebih tinggi untuk meraih keuntungan lebih sekali ganda,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, kegiatan itu turut dipercayai melibatkan pembeli termasuk kenderaan dari kawasan sempadan.
Kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1974.
Siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.