
ALOR SETAR, 15 Januari – Tiga treler berpendaftaran asing yang dikesan membuat pengisian minyak diesel di sebuah premis pemborong barang kawalan diesel di kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah, disita oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kubang Pasu.
- Tiga treler berpendaftaran asing disita di premis pemborong diesel di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam selepas pemeriksaan penguatkuasaan.
- Sitaan termasuk kira-kira 2,200 liter diesel bernilai RM6,358 dan dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.
- Tiga warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan; kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, ketiga-tiga treler tersebut mempunyai tangki tambahan dan merupakan hasil tiga kes serahan penguatkuasaan oleh Pasukan Polis Marin (PPM), Cawangan Wilayah 1 Langkawi pada Selasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemborong berkenaan merupakan pemegang lesen borong barang kawalan diesel yang sah, namun telah menjual barang kawalan itu kepada individu yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran untuk membeli minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pihaknya turut menyita minyak diesel dianggarkan sebanyak 2,200 liter bernilai RM6,358 serta dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut.
Jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM636,659.
Dalam operasi sama, tiga lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia antara 20-an hingga 60-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kesemua empat kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.