KPDN rampas 10,500 jersi bola sepak tiruan bernilai RM375,000

Sebahagian daripada 10,500 helai jersi bola sepak tiruan yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di ibu negara/Foto BERNAMA

GOMBAK, 2 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas 10,500 helai jersi bola sepak tiruan bernilai RM375,000 dalam serbuan ke atas sebuah premis yang disewa bersebelahan sebuah kedai pengiklanan di ibu negara, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan hasil risikan selama seminggu membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan lingkungan 30-an.
  • Premis dipercayai menjual jersi tiruan dalam talian menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran.
  • Operasi dijalankan susulan peningkatan permintaan jersi Piala Dunia FIFA 2026 serta untuk melindungi hak harta intelek dan pengguna.
  • Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019; hukuman denda hingga RM10,000 setiap barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Serbuan hasil risikan selama seminggu bersama wakil pemilik cap dagangan itu turut membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti penjualan jersi bola sepak tiruan secara dalam talian menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran.

“Sebanyak 10,500 helai jersi dirampas membabitkan nilai keseluruhan RM375,000.

“Kita percaya dan mempunyai maklumat masih terdapat beberapa lagi lokasi yang berada dalam radar serta pemerhatian KPDN,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut beliau, operasi itu dijalankan susulan peningkatan permintaan terhadap jersi pasukan yang bertanding dalam Piala Dunia FIFA 2026, selain membanteras penjualan barangan tiruan serta melindungi hak pemilik harta intelek dan kepentingan pengguna.

Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019. Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan yang menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah atau dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.