Kilang ‘e-waste’ hangus

Foto RTM

KUANTAN, 12 Jun – Kebakaran melibatkan sisa buangan bahan berjadual di Kilang Greenverse Sdn. Bhd., Kawasan Perindustrian Gebeng di sini berjaya dikawal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi pemadaman melibatkan 44 anggota bomba, pasukan Hazmat serta bantuan beberapa balai dan agensi industri.
  • Kebakaran dikawal pada pukul 8:25 pagi; tiada mangsa dilaporkan.
  • Zon D musnah sepenuhnya manakala Zon E rosak kira-kira 80 peratus; punca dan jumlah kerugian masih disiasat.

Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6:29 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

“Kebakaran melibatkan sisa bahan berjadual yang dipercayai mengandungi unsur asid telah merebak melalui aliran longkang di dalam kawasan kilang.

Operasi pemadaman melibatkan kekuatan 44 anggota bomba bersama pelbagai aset termasuk pasukan Hazmat,” jelasnya.

Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 8:25 pagi dan setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Beliau berkata kebakaran tertumpu di Zon D yang menempatkan proses pemerolehan pelarut dan simpanan bahan minyak RFO (waste) serta thinner yang musnah sepenuhnya.

“Manakala Zon E yang merupakan kawasan kemasukan bahan mentah dan proses pencucian mengalami kemusnahan kira-kira 80 peratus.

Sementara zon lain termasuk bangunan pejabat utama, kawasan tangki simpanan, sistem rawatan efluen dan gudang simpanan tidak terjejas,” tambah beliau lagi.

Operasi turut dibantu BBP Kuantan, BBP Taman Tas, pasukan Gebeng Emergency Mutual Aid (GEMA), Bomba Pelabuhan Kuantan serta beberapa agensi dan syarikat industri di kawasan Gebeng.

Pasukan Hazmat dan agensi berkaitan sentiasa memantau keadaan bagi memastikan tiada risiko pencemaran atau ancaman kepada orang awam.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.