Seludup 14 lembu: Dua warga tempatan ditahan

Foto PGA

TANAH MERAH, 12 Jun – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 14 ekor lembu bernilai RM84,000 yang dipercayai diseludup dari Thailand dalam serbuan Op Taring Wawasan di sini pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggota PGA mengesan sebuah lori mencurigakan di Jalan Tanah Merah-Jeli sekitar pukul 9 malam.
  • Pemeriksaan lanjut menemui lembu dengan berat keseluruhan 5.6 tan.
  • Pemandu dan kelindan warga tempatan berusia 36 dan 24 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah.
  • Rampasan lori diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan; kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Komander Briged Tenggara, SAC Ahmad Radzi Hussain mendedahkan rampasan itu dilakukan selepas anggotanya mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tanah Merah-Jeli kira-kira pukul 9 malam.

Pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan membawa kepada penemuan kesemua lembu berkenaan dengan berat keseluruhan 5.6 tan.

“Pemandu dan kelindan warga tempatan masing-masing berusia 36 dan 24 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan haiwan ternakan tersebut yang dipercayai diseludup dari Thailand.

“Berdasarkan siasatan awal, lembu berkenaan diambil dari sebuah kandang di Pasir Mas untuk dibawa ke Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas lori untuk mengangkut haiwan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM200,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM284,000.

“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.