
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa senarai 54 kontraktor bagi pelaksanaan projek di bawah Program Jana Wibawa dicadangkan menerusi surat yang dikeluarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
- Surat bertarikh 13 November 2020 mengandungi cadangan pelantikan syarikat dan memuat tandatangan Tan Sri Muhyiddin.
- Senarai syarikat disediakan oleh Pejabat Perdana Menteri, bukan oleh Kementerian Kewangan.
- Tengku Zafrul menegaskan tiada sumbangan atau manfaat peribadi diperoleh berkaitan Program Jana Wibawa dan tidak mengetahui asas pemilihan.
Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika memberi keterangan berkata, surat bertarikh 13 November 2020 mengandungi cadangan pelantikan 54 syarikat untuk melaksanakan 54 projek secara rundingan terus, selain mengarahkan Kementerian Kewangan meneliti cadangan berkenaan.
Menurut beliau, surat tersebut dikeluarkan pada hari yang sama memorandum berkaitan Pelan Tindakan Perolehan Kerajaan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, selain turut mengandungi tandatangan Tan Sri Muhyiddin pada muka surat ketiga.
Tengku Zafrul turut memberitahu, senarai syarikat berkenaan disediakan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), bukannya oleh Kementerian Kewangan.
Beliau juga berkata, tidak mengetahui asas pemilihan syarikat terbabit atau kaedah pengagihan projek kepada mereka, selain tidak pernah dimaklumkan sama ada mana-mana daripada 54 syarikat itu mempunyai hubungan atau kepentingan dengan Tan Sri Muhyiddin.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menegaskan beliau tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada syarikat-syarikat berkenaan, malah tidak dimaklumkan bahawa beliau atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menerima sebarang sumbangan daripada mereka.
Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa sepanjang menerajui Kementerian Kewangan dari Mac 2020 hingga Ogos 2021, beliau tidak memperoleh sebarang manfaat atau keuntungan peribadi yang berkaitan dengan pelaksanaan Program Jana Wibawa.
Tan Sri Muhyiddin kini berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada beberapa syarikat yang dikaitkan dengan Projek Jana Wibawa.
Beliau turut menghadapi tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Bersatu antara Februari 2021 hingga Julai 2022.
Perbicaraan kes berlangsung di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.