Tentera Israel tutup laluan terakhir ke desa di Tebing Barat, sisih 47 keluarga

Tekanan Israel bertujuan mengusir seluruh masyarakat secara paksa/Foto REUTERS

RAMALLAH / ISTANBUL, 19 September – Tentera Israel telah menutup laluan terakhir ke Khirbet Ras al-Ahmar, sebuah perkampungan kecil Palestin di tenggara Tubas di utara Tebing Barat, mengasingkan sepenuhnya 47 keluarga Palestin untuk hari kelima berturut-turut, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penutupan jalan darat telah berlanjutan lebih dua bulan, menghalang akses utama menuju perkampungan.
  • Pengepungan kira-kira tiga tahun menjadi kritikal apabila parit digali, mengehadkan lalu lintas kepada traktor ternakan sahaja.
  • Kampung dijadikan kawasan terkurung dengan parit, tembok dan zon tentera, menghalang pembekalan makanan untuk ternakan.
  • Sebanyak 90 peratus tanah ragut didakwa dirampas atau diluar capaian, menjejaskan sumber hidup dan mendorong pengusiran paksa.

Penutupan itu berlaku selepas “lebih dua bulan (tentera Israel) menutup semua jalan darat menuju ke desa itu,” kata penduduk Thaer Basharat kepada Anadolu pada Sabtu.

Basharat berkata pengepungan itu mula berlaku sejak kira-kira tiga tahun namun mencapai tahap kritikal lima hari lepas, apabila tentera Israel menggali parit merentasi laluan terakhir ke kampung itu, yang hanya boleh dilalui oleh traktor ternakan dan pertanian.

Beliau berkata kampung itu telah dijadikan “kandang” yang dikelilingi parit, tembok dan zon tentera.

“Sebanyak 47 keluarga di kampung itu bergantung pada penternakan dan kini tidak mampu membawa masuk keperluan asas atau makanan kambing biri-biri,” tambahnya.

Basharat berkata kira-kira 360,000 dunam (360 juta meter persegi) digunakan sebagai tanah ragut untuk petani di kampung itu, namun 90 peratus daripadanya sama ada telah dirampas atau diletakkan di luar had, menyebabkan petani berdepan keadaan yang sukar.

“Tekanan Israel bertujuan untuk mengusir seluruh masyarakat secara paksa dari kampung itu,” katanya.

Serangan oleh tentera Israel dan peneroka terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka di Tebing Barat meningkat sejak perang Gaza bermula pada Oktober 2023.

Israel telah menduduki Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, sejak perang Asia Barat 1967.-BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.