
KUALA LUMPUR, 18 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan pelepasan Malaysia Sarong Music Run 2026 di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC).
- Anwar menyeru rakyat menjaga kesihatan dan memelihara negara, menggalakkan semangat hidup sihat.
- Beliau turut berjalan kaki bersama peserta bagi memeriahkan suasana acara.
- Lebih 20,000 peserta mengambil bahagian dalam tiga kategori termasuk 3km, 5km Fun Run dan 5km Speed Run.
- Peserta memakai kain sarong dan pakaian tradisional, diserikan persembahan muzik, aktiviti kebudayaan dan program kekeluargaan.
Sebelum pelepasan tersebut, Datuk Seri Anwar turut menyeru rakyat negara ini supaya menjaga kesihatan dan memelihara negara Malaysia.
“Salam sejahtera. Terima kasih semua rakyat, muda dan dewasa, wanita dan lelaki. Semangat untuk jaga badan, sihat sentiasa, jaga negara Malaysia tercinta. Jom kita lari sama-sama!” katanya.
Beliau turut meluangkan masa menyertai acara tersebut dengan berjalan kaki bersama peserta, sekali gus memeriahkan suasana larian yang berlangsung hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Program larian yang memasuki edisi ketiga penganjurannya itu menghimpunkan lebih 20,000 peserta menerusi tiga kategori iaitu larian 3km dan 5km Fun Run dan 5km Speed Run.
Uniknya, peserta tampil mengenakan kain sarong selain pakaian tradisional masing-masing, sekali gus menyerlahkan elemen warisan dan identiti budaya tempatan dalam suasana santai serta meriah.
Program turut diserikan dengan bacaan ikrar yang diketuai Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, diiringi Pinn Yang serta Christy Ng & Friends.
Selain larian, Malaysia Sarong Music Run 2026 turut menampilkan persembahan muzik, aktiviti kebudayaan dan program kekeluargaan bagi meraikan warisan serta kreativiti tempatan.