
KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Seorang remaja lelaki maut dengan kepala dipercayai terputus selepas terlibat kemalangan di Jalan Losong Feri, di sini pada Isnin.
- Mangsa dikenali Wan Han Keong, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
- Kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah van dari laluan bertentangan.
- Kereta dilaporkan hilang kawalan, terbabas, melanggar tiang lampu sebelum merempuh van.
- Tiang lampu tumbang menembus kereta dan menikam mangsa; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor mendedahkan, mangsa Wan Han Keong, 18 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata kemalangan itu membabitkan sebuah kereta dari arah Kuala Terengganu dengan sebuah van yang berada di laluan bertentangan.
“Berdasarkan siasatan awal, kereta dipandu seorang lelaki bersama empat penumpang dipercayai hilang kawalan, sebelum terbabas hingga melanggar tiang lampu di pembahagi tengah jalan, seterusnya merempuh van dinaiki mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, impak kemalangan mengakibatkan tiang lampu jalan tumbang dan tertembus masuk ke dalam kereta hingga menikam mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan van berkenaan.
“Pemandu van dikenali sebagai Wah Tee Tun, 49 tahun, mengalami kecederaan ringan manakala pemandu serta penumpang kereta terbabit tidak mengalami kecederaan,” jelasnya.
Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.