
KUALA LUMPUR, 13 April – Jabatan Penjara Malaysia mengambil maklum mengenai penularan satu video di media sosial yang memaparkan seorang tahanan reman dipercayai melarikan diri daripada kawalan pihak polis di perkarangan Penjara Sungai Buloh.
- Jabatan sedang meneliti kesahihan rakaman dan mengenal pasti sumber penyebarannya.
- Keselamatan institusi pemulihan kekal menjadi keutamaan jabatan.
- Sebarang kelemahan akan diperbaiki dan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak cuai.
- Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih.
Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu memaklumkan pihaknya sedang meneliti kesahihan rakaman berkenaan, termasuk mengenal pasti sumber asal penyebarannya.
Menurut kenyataan itu, aspek keselamatan institusi pemulihan sentiasa menjadi keutamaan jabatan berkenaan.
“Sebarang kelemahan yang dikenal pasti akan ditambah baik, selain tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai atau melanggar peraturan ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta mengganggu ketenteraman awam.