
KINABATANGAN, 19 Mei – Bangkai seekor gajah Borneo ditemui di tapak semaian hutan di Sungai Pinangah, Tongod dekat sini pada pagi Isnin dipercayai dibunuh pemburu haram.
- Pemeriksaan awal: gajah dipercayai jantan 2.9 m, muka dipotong bentuk L, gading hilang, tiada kesan tembakan setakat ini.
- Siasatan forensik sedang dijalankan; SWD diarahkan menjalankan siasatan terperinci, memperkukuh penguatkuasaan dan rondaan.
- Kerjasama dengan polis dipertingkatkan; tindakan tegas akan dikenakan jika kaitan dengan pemburuan haram disahkan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, laporan mengenai penemuan itu diterima oleh Pejabat Hidupan Liar Kinabatangan pada pukul 8.25 pagi.
Beliau berkata, susulan itu Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) melakukan pemeriksaan terhadap bangkai berkenaan pada pukul 12.13 tengah hari hingga 3.30 petang semalam.
“Berdasarkan maklumat awal pekerja ladang di Tongod melaporkan terdengar bunyi letupan yang kuat pada kira-kira pukul 5.30 petang Ahad, namun pemeriksaan hanya dilakukan keesokan harinya susulan hujan lebat.
“Pengurus ladang bersama beberapa pekerja yang melakukan pemeriksaan pada pukul 6.30 pagi Isnin menemukan bangkai gajah berkenaan dalam keadaan sebahagian kepala dan gadingnya hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan awal terhadap bangkai gajah berkenaan mendapati haiwan itu dipercayai seekor gajah Borneo jantan dengan ketinggian kira-kira 2.9 meter, serta saiz tapak kaki kira-kira 1.45 meter.
“Bahagian muka dan mulut gajah itu telah dipotong dalam bentuk huruf L menggunakan peralatan tajam, selain gadingnya hilang.
“Setakat ini, tiada kesan tembakan pada bangkai gajah itu, namun siasatan forensik masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian,” katanya.
Datuk Jafry berkata, pihaknya telah mengarahkan SWD segera menjalankan siasatan terperinci, memperkukuh operasi penguatkuasaan dan rondaan, selain meneruskan kerjasama dengan polis serta meningkatkan pemantauan di koridor pergerakan hidupan liar dan kawasan berisiko tinggi.
“Sekiranya siasatan mendapati kematian gajah berkenaan ada kaitan dengan aktiviti pemburuan haram, tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab,” tegasnya.