
KERIAN, 8 September- Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam 77 kes khianat membabitkan perbuatan menyimbah cat serta membakar rumah dan kenderaan di Perak, Kedah dan Pulau Pinang.
- Polis merampas sebuah kereta, satu tin cat serta botol dan tong minyak berisi petrol.
- Suspek dipercayai dipaksa melakukan khianat selepas gagal melunaskan hutang kepada sindiket Ah Long.
- Suspek dikatakan menerima upah RM100 hingga RM400 bagi setiap perbuatan, sindiket dipercayai beroperasi di Singapura.
- Suspek didakwa di Mahkamah Kerian mengikut Seksyen 435, 427 dan 506 Kanun Keseksaan.
Suspek berusia 35 tahun itu ditahan dalam Op Simbah yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada 7 Julai lepas.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata ketika serbuan dijalankan, polis merampas beberapa barang kes termasuk sebuah kereta, satu tin cat serta satu botol dan tong minyak berisi petrol.
Beliau berkata suspek dipercayai dipaksa melakukan jenayah berkenaan selepas gagal melunaskan hutang kepada sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen.
“Suspek pada awalnya merupakan mangsa pinjaman sindiket along, tetapi tidak mampu membayar hutang tersebut.
“Sindiket kemudian mengarahkan suspek melakukan khianat dan ugutan dengan cara menyimbah cat serta membakar rumah atau kenderaan mangsa lain (peminjam along),” katanya pada sidang media di IPD Kerian di sini hari ini.
Datuk Mohd Alwi berkata suspek dipercayai menerima upah antara RM100 hingga RM400 bagi setiap jenayah yang dilakukan daripada sindiket yang dipercayai beroperasi di Singapura.
Beliau berkata daripada 77 kes berkenaan, 57 berlaku di Perak, manakala 15 kes di Kedah dan lima kes di Pulau Pinang.
Suspek telah didakwa di Mahkamah Kerian pada 7 September lepas mengikut Seksyen 435, Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.