Hadkan aktiviti luar semasa jerebu

Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan Respiratori, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Andrea Ban Yu-Lin – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 September – Golongan berisiko termasuk kanak-kanak kecil, wanita hamil dan warga emas perlu mengehadkan aktiviti luar semasa jerebu berikutan risiko kesihatan yang lebih tinggi, terutama mereka yang mempunyai penyakit paru-paru.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jerebu boleh menyebabkan radang paru-paru dan memburukkan penyakit paru-paru.
  • Kurangkan aktiviti luar apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100.
  • Aktiviti fizikal luar meningkatkan kadar pernafasan, sekali gus menyebabkan lebih banyak zarah jerebu disedut.
  • Gunakan pelitup muka N95 untuk meminimumkan pendedahan kepada zarah jerebu.

Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan Respiratori, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Andrea Ban Yu-Lin, berkata jerebu boleh menyebabkan radang paru-paru dan memburukkan keadaan individu yang mempunyai penyakit berkaitan organ berkenaan.

“Jadi, kalau seseorang itu sudah mempunyai penyakit paru-paru, ia boleh menyebabkan penyakit tersebut menjadi lebih teruk. Golongan yang berisiko lebih tinggi adalah kanak-kanak kecil, wanita hamil, dan warga emas,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.

Tambah beliau, tahap pendedahan juga bergantung kepada bacaan Indeks Pencemar Udara, (IPU) dengan orang ramai disaran mengurangkan aktiviti luar apabila bacaan melebihi 100.

Aktiviti fizikal di luar seperti bersenam turut meningkatkan kadar pernafasan, sekali gus menyebabkan lebih banyak zarah jerebu disedut masuk ke dalam paru-paru terutama jika terdedah dalam tempoh lama.

“Untuk sesetengah orang, kalau mereka melakukan aktiviti seperti bersenam di luar, yang dikira sebagai aktiviti berat dan menyebabkan mereka bernafas dengan lebih cepat, jika terdedah untuk masa yang lama, lebih banyak jerebu akan masuk ke dalam (paru-paru),” kata Profesor Dr. Andrea, sambil menggalakkan penggunaan pelitup muka N95 bagi meminimumkan pendedahan kepada jerebu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.