PM dengar suara pekebun kecil, isu dibawa ke Kabinet esok

Facebook: Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 8 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa perkara yang dibangkitkan pekebun kecil dan pengusaha sektor komoditi akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Kabinet esok, dengan sebarang keputusan mengenainya akan diumumkan dalam Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan MADANI akan berusaha mencari penyelesaian mengikut kemampuan meskipun terdapat kekangan semasa.
  • Pertemuan tertutup bersama wakil pekebun kecil sektor getah, sawit, koko, lada, kenaf dan perkayuan untuk dengar pandangan serta permasalahan.
  • Isu dibangkitkan termasuk kelayakan diesel, akses peruntukan jalan ladang, sumber air alternatif dan pengukuhan perwakilan pekebun kecil di Parlimen.
  • Pertindihan fungsi antara Lembaga Getah Malaysia dan RISDA turut dibangkitkan sebagai isu perlu diselesaikan.

Beliau berkata Kerajaan MADANI sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi setiap isu yang dibangkitkan demi memastikan kebajikan pekebun kecil terus diberi perhatian.

“Mungkin tidak semua dapat dilaksanakan segera kerana kekangan semasa, namun Kerajaan MADANI akan berusaha sebaik mungkin untuk mencari penyelesaian mengikut kemampuan. Insya-Allah, sebarang keputusan akan diumumkan dalam Belanjawan 2027,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata beliau bersama Menteri dan pimpinan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengadakan pertemuan tertutup dengan wakil pekebun kecil serta pengusaha beberapa sektor termasuk getah dan sawit.

“Usai perhimpunan, saya bersama Menteri KPK (Datuk Seri Dr Noraini Ahmad) dan pimpinan kementerian mengadakan pertemuan tertutup dengan wakil pekebun kecil serta pengusaha sektor getah, sawit, koko, lada, kenaf dan perkayuan,” katanya.

Katanya, antara perkara yang dibangkitkan termasuk keperluan meningkatkan kelayakan diesel bagi pekebun kecil, akses lebih mudah kepada peruntukan jalan ladang, sumber air alternatif serta cadangan memperkukuh perwakilan suara pekebun kecil di Parlimen.

Turut dibangkitkan ialah pertindihan fungsi antara Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Perdana Menteri berkata suara pekebun kecil perlu didengar dan nasib mereka terus dibela termasuk dalam aspek pendapatan, peningkatan mutu dan hasil pengeluaran, kemudahan jalan ladang serta keadaan perumahan.

Beliau berkata pendekatan mendengar sendiri pandangan dan permasalahan golongan berkenaan penting bagi memastikan keperluan di lapangan mendapat perhatian sewajarnya.

“Dalam sesi khas ini, saya mendengar secara langsung dan tanpa tapisan isu yang mereka hadapi di lapangan,” katanya.

Perdana Menteri berkata sektor perladangan dan komoditi turut menyumbang kepada kekuatan ekonomi negara, termasuk melalui sumbangan besar pekebun kecil.

Beliau berkata ekonomi negara mencatat pertumbuhan enam peratus pada suku kedua, mengatasi semua unjuran awal.

Terdahulu, Perdana Menteri hadir berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga KPK di Putrajaya, hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.