Generasi muda perlu waspada ancaman ideologi asing – PM

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 September – Generasi muda perlu berwaspada terhadap kemasukan ideologi asing, termasuk komunisme, yang berpotensi menggugat perpaduan dan kestabilan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Komunisme ancaman bersenjata; menyebabkan kematian anggota tentera, polis dan pengawal kampung.
  • Komunalisme mencetuskan ketegangan kaum dalam masyarakat majmuk dan merupakan proses yang sangat menyakitkan.
  • Rasuah kekal cabaran besar terutama kepada golongan muda dan perlu ditangani secara berterusan.
  • Gagasan Tun Abdul Razak perlu diketengahkan supaya generasi kini memahami kepimpinan lalu dan mengambil iktibar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu harus diberi perhatian memandangkan unsur komunalisme masih menebal dalam masyarakat, manakala isu rasuah kekal sebagai antara cabaran besar yang perlu ditangani secara berterusan.

Beliau berkata, pandangan itu selari dengan pemikiran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang menggariskan tiga ancaman utama terhadap negara, iaitu komunisme, komunalisme dan rasuah atau dikenali sebagai 3C.

“C pertama itu komunisme. Ancaman gerombolan komunis tidak boleh diremehkan kerana ia merupakan ancaman bersenjata yang menyebabkan ramai anggota askar Melayu, polis dan pengawal kampung pada masa itu terkorban.

“C yang kedua ialah komunalisme. Beliau (Tun Abdul Razak) kata, ‘a very painful process’. Sebab negara ini pelbagai kaum dan rakyat di mana pun sangat mudah terheret dengan sentimen kaum yang kuat. Beliau sering menasihatkan dan menekankan, termasuk kami kepemimpinan mahasiswa Melayu.

“Yang ketiga, bahaya kepada negara adalah rasuah yang mudah hinggap kepada anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak di Memorial Tun Abdul Razak, di ibu negara, hari ini.

Tambah beliau, peringatan mengenai tiga ancaman berkenaan menunjukkan pembangunan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada kekuatan ekonomi dan fizikal, sebaliknya turut memerlukan kestabilan masyarakat, integriti kepemimpinan serta keselamatan negara.

Sehubungan itu, katanya, pemikiran dan gagasan Tun Abdul Razak wajar terus diketengahkan kepada generasi masa kini agar mereka dapat memahami pengalaman kepemimpinan terdahulu serta mengambil iktibar dalam usaha membangunkan dan mempertahankan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.