Bijak guna elektrik, kurangkan pembaziran dan kos

Pensyarah Kanan Universiti Tenaga Nasional, UNITEN Business School, Dr. Nor Salwati Othman – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 September – Penggunaan elektrik melalui amalan kecekapan tenaga dapat membantu mengawal kos perbelanjaan pengguna, sekali gus mengurangkan pembaziran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggunaan tenaga cekap penting dalam pengeluaran; pembaziran meningkatkan kos operasi dan perlu dielakkan.
  • Tabiat harian seperti tidak mematikan lampu atau penghawa dingin tanpa penghuni menyebabkan pembaziran tenaga dan kos sara hidup meningkat.
  • Budayakan perubahan tabiat dan guna teknologi kecekapan tenaga untuk kurangkan pembaziran, kawal kos sara hidup dan capai penggunaan mampan.

Pensyarah Kanan Universiti Tenaga Nasional, UNITEN Business School, Dr. Nor Salwati Othman, berkata penggunaan elektrik yang lebih efisien kini lebih mudah diamalkan dengan kemajuan teknologi moden.

“Tenaga merupakan salah satu faktor penting dalam pengeluaran. Peningkatan penggunaan tenaga secara tidak langsung akan menyebabkan kos operasi turut meningkat.

“Oleh itu, penjimatan tenaga amat penting dengan mengamalkan penggunaan tenaga secara lebih cekap dan efisien, selaras dengan kemajuan teknologi yang ada di Malaysia ketika ini,” katanya.

Dalam konteks isi rumah, Dr. Nor Salwati berkata, pembaziran tenaga juga berlaku melalui tabiat harian yang dianggap remeh, namun jika dilakukan secara berterusan boleh meningkatkan penggunaan elektrik dan kos sara hidup.

“Kita sering menganggap bahawa tidak menutup lampu atau memasang penghawa dingin ketika tiada penghuni tidak memberi kesan. Sebenarnya, perkara itu merupakan satu pembaziran tenaga.

“Jika pembaziran dapat dielakkan, kita bukan sahaja dapat menjimatkan penggunaan tenaga, malah turut membantu mengurangkan kos sara hidup, ” ujarnya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.

Beliau menekankan, perubahan tabiat serta penggunaan teknologi kecekapan tenaga perlu dibudayakan bagi mengurangkan pembaziran, mengawal kos sara hidup dan memastikan penggunaan tenaga yang lebih mampan pada masa hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.