Rusia kembali serang Kiev selepas tiga hari henti serangan

Asap kelihatan menjulang di kawasan bandar dalam serangan terbaharu Rusia ke atas bandar Kiev./ REUTERS

KIEV, 8 Sept – Rusia kembali melancarkan serangan ke atas Kiev pada awal Selasa selepas menghentikan serangan selama tiga hari ketika usaha Amerika Syarikat (AS) untuk menghidupkan semula rundingan damai antara Moscow dan Kiev sedang berlangsung.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekurang-kurangnya dua terbunuh, tujuh cedera; beberapa bangunan dan kenderaan rosak di Kyiv, termasuk blok pangsapuri lima tingkat.
  • Tentera Udara Ukraine lapor serangan peluru berpandu; sistem pertahanan udara diaktifkan dan penduduk diarah berlindung.
  • Utusan AS mengadakan pertemuan dengan Putin dan Zelensky; ada "kemajuan substantif" dan kemungkinan rundingan tiga hala disambung semula.
  • Pertempuran berterusan: 237 pertempuran dilaporkan; Ukraine dan Rusia saling tuntut pemusnahan aset ketenteraan.

Beberapa letupan kuat kedengaran di ibu negara Ukraine, menyebabkan kebakaran dan penggera kenderaan berbunyi, manakala pentadbiran tentera Kiev memaklumkan sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam serangan itu.

Tentera Udara Ukraine melaporkan serangan peluru berpandu dan menggesa penduduk berlindung ketika sistem pertahanan udara diaktifkan.

Serangan itu turut merosakkan beberapa bangunan di seluruh Kiev, termasuk sebuah blok pangsapuri lima tingkat di daerah Solomianskyi, manakala beberapa kenderaan terbakar di daerah Podilskyi.

Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko, berkata beberapa penduduk dipercayai terperangkap di dalam sebuah bangunan kediaman.

Agensi berita negara Rusia, TASS, sebelum itu mengesahkan tempoh penghentian serangan telah berakhir.

Amaran serangan udara turut diaktifkan di kira-kira sedozen wilayah Ukraine pada sekitar 5.30 pagi waktu tempatan, sebelum amaran di Kiev kemudiannya ditamatkan.

Poland turut mengumumkan operasi penerbangan pertahanannya susulan serangan Rusia itu.

Perkembangan berkenaan berlaku ketika utusan khas AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner, mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada hujung minggu lalu dalam usaha menggerakkan semula rundingan damai.

Witkoff pada Isnin berkata terdapat “kemajuan substantif” dalam perbincangan dengan Rusia dan Ukraine, sekali gus membuka kemungkinan rundingan damai tiga hala disambung semula.

“Presiden Trump bekerja keras untuk menghentikan pembunuhan dan berusaha mencapai keamanan yang berkekalan serta berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan di X.

Kremlin pada Isnin turut memaklumkan tidak menolak kemungkinan rundingan tiga hala, namun jurucakapnya Dmitry Peskov berkata masih terlalu awal untuk menentukan lokasi dan tarikh rundingan.

Zelensky pula memberitahu media AS, Axios, bahawa utusan AS memaklumkan kepadanya “Rusia bersedia untuk berunding”, sambil mendakwa Washington mahu meredakan konflik sebelum musim sejuk yang panjang.

“Rusia benar-benar berpendapat musim sejuk ini boleh membantu mereka mematahkan kami,” katanya.

Namun, pada masa sama, pertempuran antara kedua-dua pihak terus berlaku.

Kementerian Pertahanan Rusia pada Isnin memaklumkan, tenteranya meneruskan serangan terhadap infrastruktur pelabuhan dan kapal yang digunakan Ukraine untuk tujuan ketenteraan.

Kementerian itu turut mendakwa pertahanan udaranya memintas dan memusnahkan 306 dron Ukraine dari Ahad malam hingga Isnin pagi di wilayah Belgorod dan Bryansk serta kawasan Laut Azov dan Laut Hitam.

Sementara itu, Staf Am Angkatan Tentera Ukraine melaporkan 237 pertempuran berlaku di barisan hadapan dalam tempoh 24 jam, dengan tentera Ukraine mendakwa berjaya menangkis serangan Rusia di beberapa lokasi.

Ukraine turut mendakwa memusnahkan 51 sistem artileri Rusia, tujuh sistem pelancar roket berganda dan lebih 1,400 dron, selain aset ketenteraan lain.

Zelensky berkata perbincangan dengan utusan AS turut menyentuh cadangan berkaitan kemudahan tenaga, penghantaran bijirin serta eksport minyak dan gas, namun beliau tidak mendedahkan butiran lanjut.

Konflik Rusia-Ukraine yang bermula dengan pencerobohan Moscow pada Februari 2022 sebelum ini menyaksikan rundingan berulang kali menemui jalan buntu, khususnya berhubung isu wilayah di timur Ukraine yang dituntut Rusia. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.