Cuba seludup minuman keras, dua lelaki dipenjara tiga bulan

Dua lelaki tempatan dipenjara tiga bulan selepas gagal membayar denda kerana kesalahan mengangkut minuman keras tidak berkastam / Foto RTM

LABUAN, 9 Julai – Dua lelaki tempatan dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Labuan selepas gagal membayar denda RM10,000 setiap seorang kerana kesalahan mengangkut minuman keras tidak berkastam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh, 32 dan 25 tahun, mengaku bersalah mengangkut 86 botol minuman keras tanpa pengikraran dan tidak menjelaskan duti import.
  • Kenderaan pacuan empat roda yang digunakan disita dan dilucutkan hak kepada JKDM mengikut Seksyen 127(1) Akta Kastam 1967.
  • Barang disembunyikan dalam ruang ubah suai pada lantai kompartmen belakang kenderaan semasa pemeriksaan 27 April.
  • Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM; JKDM mengingatkan orang ramai mematuhi peruntukan Akta Kastam 1967.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan, Aspalila Ag. Tuah berkata, kedua-dua lelaki berusia 32 dan 25 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengangkut 86 botol minuman keras pelbagai jenama dari Labuan ke Kawasan Utama Kastam (KUK) tanpa membuat pengikraran kastam serta tidak menjelaskan duti import.

Menurutnya, kesalahan itu dilakukan bertentangan dengan peruntukan Akta Kastam 1967 dan mereka didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman denda RM10,000 setiap seorang. Bagaimanapun, selepas gagal membayar denda berkenaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mahkamah turut memerintahkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan dalam cubaan penyeludupan itu dilucutkan hak kepada JKDM mengikut Seksyen 127(1) Akta Kastam 1967.

Kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan pada 27 April lalu di Terminal Feri Kenderaan, Jalan Merdeka, Labuan.

Hasil pemeriksaan mendapati 86 botol minuman keras disembunyikan dalam ruang yang telah diubah suai pada bahagian lantai kompartmen belakang kenderaan terbabit.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Tuan Said Hamid Said Idrus.

JKDM turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peruntukan Akta Kastam 1967, terutama berkaitan pengangkutan barang dari Labuan ke Kawasan Utama Kastam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.