Bapa dipenjara 165 tahun rogol dua anak

FOTO RTM

LAHAD DATU, 8 April – Seorang lelaki berusia 54 tahun dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 165 tahun dan 110 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Lahad Datu selepas mengaku bersalah merogol dua anak perempuannya sejak 2016.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah menjatuhkan 15 tahun penjara dan 10 sebatan bagi setiap 11 pertuduhan; hukuman berjalan secara berasingan.
  • Tertuduh merogol dua anak perempuannya sejak mereka berusia 15 dan 18; mangsa kini berumur 25 dan 22.
  • Mangsa membuat laporan polis; tertuduh ditahan 22 Mac; ugut memukul; kes disiasat oleh Inspektor Malati Labpak.

Hakim, Suhaila Selag menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi setiap daripada 11 pertuduhan, dengan hukuman penjara diperintahkan berjalan secara berasingan.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Haja Mohaideen berkata, tertuduh melakukan perbuatan itu terhadap kedua-dua mangsa yang kini berusia 25 dan 22 tahun sejak masing-masing berusia 15 dan 18 tahun.

Perbuatan tersebut dilakukan di beberapa lokasi sekitar Lahad Datu dan Tawau.

Tertuduh juga didakwa mengugut untuk memukul mangsa sekiranya mereka enggan menurut kehendaknya.

Bertindak atas laporan yang dibuat, polis menahan tertuduh pada 22 Mac lalu selepas kedua-dua mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Kes disiasat oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Malati Labpak.