- Seorang lelaki Bangladesh ditahan di KLIA Terminal 2 kerana dipercayai menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara ePass palsu.
- Pemeriksaan lanjut mendapati pas tersebut disyaki tidak sah, menyebabkan suspek ditempatkan di Depot Imigresen untuk siasatan.
- Kes diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan AKPS KLIA untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang.
- AKPS menegaskan komitmen memperketat kawalan sempadan dan tidak bertolak ansur terhadap penyalahgunaan dokumen perjalanan.

SEPANG, 19 Januari – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu ketika cuba berlepas ke Dhaka, Bangladesh, semalam.
Penahanan dilakukan sekitar pukul 4.40 petang, 18 Januari 2026, di Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA Terminal 2 ketika pemeriksaan ke atas seorang penumpang yang dijadualkan berlepas pada jam 7.25 malam menaiki penerbangan AirAsia.
Hasil pemeriksaan awal mendapati lelaki berusia 39 tahun itu, pemegang pasport Bangladesh, memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara berbentuk ePass yang dikepilkan di dalam pasportnya. Namun, semakan lanjut mendapati pas berkenaan disyaki tidak sah dan palsu.
Susulan itu, individu terbabit ditahan dan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA Terminal 2 sebelum diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan AKPS KLIA bagi tujuan siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
AKPS menegaskan komitmen berterusan dalam memperketat kawalan keselamatan sempadan negara dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan penyalahgunaan dokumen perjalanan atau pas imigresen.