43 PATI ditahan dalam Op Taring Delta di Sabak Bernam

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Hakemal Hawari/RTM

KUALA LUMPUR, 19 Januari -Kira-kira 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Op Taring Delta di sekitar pesisir pantai Sabak Bernam pada 16 Januari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 43 PATI ditahan di pesisir Sabak Bernam menerusi Op Taring Delta pada 16 Januari.
  • Suspek dipercayai terlibat sindiket penyeludupan migran, termasuk dua tekong yang cuba melarikan diri.
  • Tangkapan melibatkan 31 lelaki dan 12 wanita warga Indonesia, umur 20 hingga 40 tahun.
  • Barang rampasan: sebuah bot, dua telefon bimbit; operasi berkaitan siasatan di bawah Akta ATIPSOM dan Imigresen.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Hakemal Hawari berkata, kesemua mereka dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan migran yang aktif di kawasan perairan Selangor.

“Mereka mahu keluar melalui bot dan bot tersebut menuju ke pesisir pantai. Apabila bot tiba, mereka bergerak naik ke bot.

“Sedikit pergelutan berlaku ketika usaha menangkap tekong, namun keadaan berjaya dikawal. Dua tekong cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya pagi tadi.

Tangkapan melibatkan 31 lelaki dan 12 wanita warganegara Indonesia berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah bot nelayan dan dua unit telefon bimbit dengan anggaran nilai RM51,000.

Dalam pada itu, bagi tempoh 1 Januari 2026 hingga hari ini, sebanyak 22 serbuan telah dijalankan membabitkan 94 migran berjaya ditahan dengan pelbagai jenis rampasan dibuat, anggaran nilai RM3 juta.