
KUALA LUMPUR, 19 November – Seramai 36 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan, digantung tugas serta berdepan pertuduhan di mahkamah sehingga 2026 susulan penglibatan dalam sindiket pemalsuan Pas Rawatan dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada warga asing.
- Operasi khas termasuk Op Selat dan Op Turun dijalankan bagi membanteras sindiket pemalsuan dokumen imigresen.
- Kementerian Dalam Negeri menegaskan tiada kompromi terhadap pegawai yang terlibat dalam salah laku, khususnya berkaitan integriti dan rasuah.
- Pelaksanaan penuh ePLKS tanpa pelekat fizikal sejak 2024, integrasi biometrik dan kod QR mengurangkan pemalsuan hampir 90 peratus.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan itu hasil beberapa siri operasi khas yang dilaksanakan, termasuk Op Selat dan Op Turun.
Beliau menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai penguat kuasa yang terlibat dalam salah laku, khususnya membabitkan integriti dan rasuah.
“KDN tidak kompromi walau seinci pun dalam soal-soal berkaitan integriti, penguat kuasa atau mana-mana pegawai yang berkaitan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau lagi, tindakan tatatertib turut diambil menerusi kerjasama strategik KDN dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sementara itu, pelaksanaan sepenuhnya sistem ePLKS tanpa penggunaan pelekat fizikal yang diintegrasikan dengan sistem biometrik sejak 2024 turut membantu membanteras pemalsuan dokumen imigresen.
Datuk Seri Dr Shamsul Anuar berkata, menerusi sistem berkenaan, kegiatan pemalsuan pelekat fizikal yang sebelum ini dilakukan melalui premis percetakan haram berjaya dikurangkan hampir 90 peratus pada 2026.
Pencapaian itu didorong penggunaan kaedah pengesanan digital menerusi pengimbasan kod QR berpusat menggunakan peranti pintar penguatkuasaan.
Langkah berkenaan sekali gus menyukarkan kegiatan pemalsuan dan pengklonan dokumen imigresen.