
TUMPAT, 19 November – Tiga wanita warga Myanmar ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai memasuki Malaysia melalui pangkalan haram di kawasan Pengkalan Kubor, awal pagi tadi.
- Tiga wanita warga Myanmar ditahan selepas dipercayai memasuki Malaysia melalui pangkalan haram di Pengkalan Kubor.
- Penahanan berlaku semasa Op Taring Wawasan Kelantan di Kampung Geting sekitar pukul 2 pagi oleh Strike Force Kompeni B.
- Pemandu kereta memecut dan melarikan diri; kenderaan ditinggalkan dan tiga wanita gagal mengemukakan dokumen pengenalan.
- Mereka dipercayai menaiki bot dari Thailand, membayar RM4,800 kepada ejen Malaysia dan menuju ke Kuala Lumpur untuk kerja.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Datuk Ahmad Radzi Hussain dalam satu kenyataan berkata, ketiga-tiga wanita berusia antara 23 hingga 40 tahun itu ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di Kampung Geting, kira-kira pukul 2 pagi.
Penahanan dilakukan anggota Strike Force Kompeni B Batalion 7 PGA ketika menjalankan rondaan di kawasan tanggungjawab sektor Pengkalan Kubor.
Ketika rondaan, anggota polis mengesan sebuah kereta Proton Persona berwarna perak dalam keadaan mencurigakan di kawasan Pulau Tengkorak sebelum mengekori kenderaan berkenaan.
Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran polis, pemandu kenderaan itu bertindak memecut sebelum meninggalkan kereta di Kampung Geting dan melarikan diri ke arah rumah berhampiran.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tiga wanita di tempat duduk penumpang hadapan dan belakang kenderaan berkenaan, namun mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
“Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga wanita berkenaan menaiki bot dari Thailand untuk memasuki Malaysia melalui pangkalan haram di Tengkorak dengan bayaran RM4,800 kepada seorang ejen lelaki warga Malaysia.
“Mereka dipercayai menuju ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan pekerjaan yang ditawarkan oleh ejen terbabit,” menurutnya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Polis turut merampas sebuah kereta Proton Persona berwarna perak bernilai kira-kira RM15,000 yang digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut.