34 pemilik kenderaan tempatan didakwa sewa, pinjam kepada warga asing

Mohd. Misuari ketika Op PEWA dan Op Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan di Stesen Penguatkuasa (SPK) JPJ Laloh/Foto RTM

KUALA KRAI, 9 Julai – Seramai 34 pemilik kenderaan tempatan di Kelantan telah didakwa di mahkamah sejak 2023 sehingga kini kerana menyewakan atau meminjamkan kenderaan
mereka kepada warga asing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op PeWA mengumpul saman sekitar RM34,000, menunjukkan tindakan tegas JPJ terhadap penyalahgunaan kenderaan.
  • Majoriti kes melibatkan warga Rohingya yang menyewa kenderaan pada kadar kira-kira RM500.
  • Januari hingga Jun: 176 kenderaan disita, 749 notis dikeluarkan; kes tertinggi pemanduan tanpa Lesen Memandu Kompeten.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah memaklumkan, tindakan tegas itu diambil menerusi pelaksanaan Op Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang menyaksikan jumlah saman terkumpul mencecah RM34,000.

Kebanyakan kes melibatkan warga Rohingya dengan modus operandi menyewa kereta pada kadar kira-kira RM500.

“Ada satu hari kita berjaya menyita sehingga 20 unit kenderaan dan kita cuba kita cuma mengawal berleluasanya penggunaan kenderaan ini di atas jalan raya. Majoritinya pemegang kad dan kita nampak satu dua kes di mana individu yang mengambil balik kenderaan berkenaan terdiri daripada mereka yang ada pasport,” katanya.

Mohd. Misuari ditemui pada sidang media selepas Op PEWA dan Op Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan di Stesen Penguatkuasa (SPK) JPJ Laloh di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi operasi sama bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, 176 kenderaan telah disita serta 749 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Kesalahan tertinggi direkodkan ialah memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL) iaitu sebanyak 350 kes diikuti kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan
tiada perlindungan insurans.

JPJ menegaskan Op PeWA akan terus diperhebat bagi memastikan pematuhan undang-undang dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di negeri berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.