17 PATI ditahan dalam operasi imigresen di Kulim

Foto ihsan FB Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah

KULIM, 29 Jun – Seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) lelaki ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah di sekitar daerah ini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi bersepadu melibatkan Op Mahir, Op Sapu, Op Selera dan Op Kutip dijalankan di empat premis sekitar daerah.
  • Operasi bermula pada pukul 10 pagi hasil risikan 15 pegawai Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan.
  • Seramai 35 individu diperiksa; tiga warga tempatan, 23 Bangladesh, lapan Pakistan dan seorang Thailand.
  • Orang kena tahan dibawa ke Depot Imigresen Belantik, Sik untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut undang-undang imigresen.

JIM Negeri Kedah dalam kenyataan memaklumkan, operasi bersepadu berkenaan melibatkan Op Mahir, Op Sapu, Op Selera dan Op Kutip yang dilaksanakan di empat premis sekitar Kulim.

Menurut kenyataan itu, operasi bermula pada pukul 10 pagi itu dijalankan hasil risikan sepasukan 15 pegawai daripada Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan.

Sepanjang operasi, seramai 35 individu diperiksa membabitkan tiga warga tempatan, 23 warganegara Bangladesh, lapan warganegara Pakistan dan seorang warganegara Thailand.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 17 lelaki warga asing berusia antara 22 hingga 54 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” menurut kenyataan itu.

Mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan warganegara Bangladesh, tujuh warganegara Pakistan dan seorang warganegara Thailand.

Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta melanggar syarat pas atau permit yang dikeluarkan JIM.

Kesemua orang kena tahan (OKT) dibawa ke Depot Imigresen Belantik, Sik untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.

JIM Negeri Kedah berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan bagi membanteras kehadiran PATI, di samping memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.