
KUALA LUMPUR, 29 Jun- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyita 6,916 unit kelengkapan komunikasi yang disyaki tidak diperakui bernilai RM2.06 juta menerusi Op V380 yang dilaksanakan di Selangor dan Johor pada 24 Jun lepas.
- MCMC melakukan Op V380 dan menyita kelengkapan komunikasi tidak diperakui untuk siasatan, termasuk kamera litar tertutup tanpa wayar dan peranti lain.
- Operasi dilaksanakan hasil maklumat risikan dan kerjasama strategik dengan SIRIM QAS International serta dijalankan serentak oleh pasukan penguatkuasaan.
- MCMC menegaskan peranti tidak diperakui boleh menjejaskan keselamatan pengguna, mengganggu rangkaian, dan tindakan undang-undang akan diambil mengikut Peraturan 16.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi berkenaan menyasarkan sebuah syarikat yang dipercayai terlibat dalam penjualan serta pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui dan tidak mematuhi piawaian teknikal ditetapkan MCMC.
“Antara kelengkapan komunikasi yang disita ialah kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV). Turut disita bagi membantu siasatan ialah komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi (WiFi router),” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, Op V380 dilaksanakan hasil maklumat risikan menerusi kerjasama strategik antara suruhanjaya itu dengan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. selaku agensi pemerakuan berdaftar.
Seramai 44 pegawai terlibat dalam operasi berkenaan yang dijalankan secara serentak di sebuah gudang penyimpanan di Klang, Selangor serta sebuah premis yang dijadikan pejabat urusan dan studio siaran langsung di Johor Bahru, Johor.
Siasatan awal mendapati kelengkapan komunikasi berkenaan ditawarkan dan dijual menerusi platform e-dagang termasuk TikTok Shop dan Shopee.
“Seramai lapan individu termasuk pengurus syarikat, pembantu gudang dan hos siaran langsung telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan.
MCMC memaklumkan penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal ditetapkan.
“Selain berpotensi menjejaskan prestasi dan kebolehpercayaan peranti, penggunaannya juga boleh menyebabkan gangguan kepada rangkaian komunikasi serta menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi,” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“MCMC akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan, pengedaran serta pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan hanya kelengkapan komunikasi yang telah diperakui bagi memastikan keselamatan pengguna serta mengelakkan risiko gangguan terhadap rangkaian komunikasi negara.