
KUALA LUMPUR, 29 Jun- Polis Johor merampas 26.94 kilogram dadah bernilai RM3.59 juta menerusi serbuan di sebuah kediaman di Kulai, Johor pada Khamis lalu.
- Suami isteri berusia 40 dan 34 tahun ditahan, disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
- Siasatan mendapati sindiket aktif sejak Januari, menggunakan kediaman sebagai stor dan lokasi pembungkusan semula.
- Rampasan besar melibatkan MDMA, serbuk ekstasi, pil ekstasi, Erimin 5 dan ketamin.
- Suspek lelaki positif methamphetamine, kedua-dua suspek direman tujuh hari, kes di bawah Seksyen 39B dengan hukuman berat.
Ketua Polis Johor, Datuk A.B Rahaman Arsad berkata, serbuan itu membawa kepada penahanan suami isteri berusia 40 dan 34 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif sejak Januari lalu dengan menjadikan kediaman tersebut sebagai stor penyimpanan serta lokasi pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Antara yang dirampas ialah 16 paket plastik disyaki dadah jenis serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 21,766 gram bernilai RM3,264,900, selain 44 paket plastik disyaki dadah jenis serbuk ekstasi seberat 1,888 gram bernilai RM13,200.
“Turut dirampas 1,621 biji pil ekstasi seberat 570 gram bernilai RM81,050, sebanyak 6,400 biji pil Erimin 5 seberat 2,040 gram bernilai RM204,000 serta tiga paket disyaki dadah jenis ketamin seberat 682 gram bernilai RM34,100,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu disalahgunakan oleh seramai 90,277 individu sekiranya berjaya diedarkan ke pasaran.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod berkaitan kesalahan narkotik.
Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 26 Jun hingga 1 Julai ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan, boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan,” katanya.
Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM206,752.
Antara barangan yang disita ialah sebuah kereta jenis Proton e-Mas 7 bernilai RM70,000, Nissan Almera bernilai RM18,000, Chery Omoda bernilai RM75,000, wang tunai RM25,000 serta pelbagai barang kemas bernilai RM18,752.
“Nilai anggaran keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM3.80 juta,” katanya.