Bekas OCPD Temerloh diarah bela diri atas 46 tuduhan rasuah

Bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Temerloh, Mohd Azhar Mohd Yusoff diarah
membela diri atas 46 pertuduhan menerima rasuah

KUANTAN, 29 Jun – Bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Temerloh, Mohd Azhar Mohd Yusoff diarah membela diri atas 46 pertuduhan menerima rasuah bernilai RM69,600 tanpa balasan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah arah tertuduh membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
  • Pendakwaan mengemukakan keterangan 20 saksi dan mahkamah terima anggapan di bawah Seksyen 53 SPRM.
  • Sambungan bicara ditetapkan 19 Ogos 2026 dan tertuduh memilih memberi keterangan bersumpah.

Hakim Sazlina Safie membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mahkamah mendapati kesemua pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh adalah teratur dan sah serta tidak melanggar Seksyen 164 Kanun Tatacara Jenayah atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie selepas membuat penilaian terhadap keseluruhan kes pendakwaan termasuk keterangan 20 saksi pendakwaan

Mahkamah juga memutuskan bahawa anggapan bawah Seksyen 53 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah terpakai terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 19 Ogos 2026 untuk sambungan bicara kes dengan tertuduh memilih memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi

Pada 7 September 2023, tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan menerima rasuah sepanjang tempoh Mac 2019 hingga Januari 2023 melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank yang diketahuinya mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh sebagai pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Tertuduh didakwa menerima suapan antara RM100 sehingga RM5,600 daripada empat pihak berbeza sebagai dorongan melindungi pihak terbabit supaya tidak dikenakan apa-apa tindakan atas pelbagai kesalahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.