151 stesen minyak berisiko tinggi dipantau, banteras ketirisan bahan api

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Penubuhan Pasukan Petugas Khas Op Tiris 4.0 Peringkat Sarawak.

KUCHING, 13 April – Sebanyak 151 stesen minyak berisiko tinggi akan dipantau rapi bagi membanteras ketirisan bahan api.

RINGKASAN BERITA AI
  • 87 stesen berada di kawasan sempadan; 22 daripadanya di Sarawak termasuk Limbang, Lubok Antu dan Lundu.
  • 64 stesen lagi dikategorikan berisiko tinggi berikutan lonjakan jualan mencurigakan tidak sepadan dengan demografi penduduk.
  • Anggota polis akan ditempatkan sementara di stesen terlibat bagi membolehkan KPDN fokus operasi di lokasi berisiko lain.
  • Op Tiris 4.0: 13,759 pemeriksaan, 239 kes, rampasan lebih RM11 juta; diesel paling tinggi dengan 99 kes bernilai RM3.1 juta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, 87 daripada keseluruhan stesen minyak itu terletak di kawasan sempadan.

Manakala 64 lagi dikategorikan berisiko tinggi berdasarkan lonjakan jualan mencurigakan dan tidak sepadan dengan demografi penduduk.

“Kalau kita tengok data, sepatutnya penggunaan tidak sampai ke tahap itu, namun ia akan dipantau rapi. Daripada 87 stesen di sempadan, 22 daripadanya berada di Sarawak termasuk di Limbang, Lubok Antu dan Lundu,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Penubuhan Pasukan Petugas Khas Op Tiris 4.0 Peringkat Sarawak di sini hari ini.

Menurutnya lagi, anggota polis bakal ditempatkan sementara di stesen minyak minyak berkenaan.

Langkah itu membolehkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpukan operasi di lokasi lain yang turut berisiko.

Ini termasuk depoh diesel nelayan, stesen tanpa jenama, jeti haram serta aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal atau bunkering haram.

Mengenai Op Tiris 4.0, Datuk Seri Fadillah berkata, sejak ia dilaksana pada 16 Mac lalu hingga semalam, sebanyak 13,759 pemeriksaan dijalankan dengan 239 kes dikesan, melibatkan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM11 juta.

“Kes melibatkan diesel mencatat jumlah tertinggi dengan 99 kes bernilai lebih RM3.1 juta, diikuti petrol RON95, gas petroleum cecair (LPG) serta barangan kawalan lain seperti minyak masak, gula dan tepung gandum,” katanya.