fb fb fb fb fb

Tiga pegawai PBT direman bantu siasatan rasuah 14 projek bangunan

Perintah reman selama enam hari sehingga 2 Ogos ini dikeluarkan oleh Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan reman tiga pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu siasatan kes rasuah kira-kira RM25,000.

Perintah reman selama enam hari sehingga 2 Ogos ini dikeluarkan oleh Majistret Yuhanis Mohd Roslan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 50-an.

Menurut sumber, mereka disyaki menerima suapan sebagai balasan memudahkan proses permohonan pelan kelulusan bangunan melibatkan 14 projek antara tahun 2015 hingga 2019.

“Mereka dipercayai menerima wang rasuah yang dipindahkan terus ke akaun peribadi daripada sebuah syarikat pemaju,” kata sumber berkenaan.

Siasatan awal juga mendapati, kes ini mempunyai kaitan dengan penahanan seorang pengarah agensi kerajaan pada Januari lalu, melibatkan rasuah berjumlah RM900,000.

Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN