KUALA LUMPUR, 12 Julai- Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) telah mengeluarkan award bagi aduan pertamanya melibatkan gangguan seksual secara fizikal oleh seorang majikan lelaki terhadap pekerja wanitanya.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, TAGS mendapati pengadu berjaya membuktikan bahawa responden telah melakukan gangguan seksual ke atasnya.
"Justeru, TAGS memerintahkan responden untuk membuat pernyataan permohonan maaf sebagaimana yang telah dipohon oleh pengadu.
"Award ini dikeluarkan dalam tempoh enam puluh (60) hari dari tarikh pertama pendengaran iaitu pada 23 Mei 2024, selaras dengan peruntukan bawah seksyen 19(1) Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840)," katanya.
Bagaimanapun TAGS menyediakan satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum.
Sehubungan itu, mangsa gangguan seksual diseru untuk tampil membuat aduan di kaunter Tribunal bagi Antigangguan Seksual, KPWKM Putrajaya atau menghubungi Talian Kasih menerusi talian 15999.