
PUTRAJAYA, 13 Julai – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman di sini hari ini, bagi mendengar keputusan sama ada kekal bebas atau diarahkan menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
- Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pada pukul 9 pagi.
- Mahkamah Rayuan pada 25 Jun 2025 melepas dan membebaskan Syed Saddiq, mengetepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi.
- Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan Mahkamah Rayuan.
- Dihadapkan empat pertuduhan: pecah amanah RM1 juta, salah guna RM120,000 dan pengubahan wang haram termasuk transaksi RM50,000.
Syed Saddiq, 33, tiba pada 8.50 pagi, diiringi ibu dan bapanya Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta tunangnya yang juga aktres Bella Astillah.
Pengamal media dan keluarga Syed Saddiq dilihat berada di pekarangan Istana Kehakiman di sini seawal 7 pagi.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada 9 pagi.
Keputusan rayuan akhir pendakwaan itu sepatutnya disampaikan pada 30 Jun lepas, namun ditangguhkan berikutan Hakim Che Ruzima bercuti sakit.
Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 Nov 2023.
Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan itu.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Syed Saddiq turut berhadapan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Syed Saddiq turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit. -BERNAMA