Lebih 1,200 individu diperiksa, 95 PATI ditahan di Klang dan Shah Alam

Foto JIM Selangor

SHAH ALAM, 13 Julai- Seramai 95 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan selepas lebih 1,200 individu diperiksa dalam operasi penguatkuasaan bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di sekitar Klang dan Shah Alam, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi bersepadu JIM Selangor bersama SSM dan JPN mensasarkan premis perniagaan serta premis komersial menggaji warga asing secara tidak sah.
  • Di Batu 3, Kapar dan kawasan stesen bas Klang, 1,143 individu diperiksa dan 73 PATI ditahan.
  • Di gudang syarikat kurier Seksyen 28 Alam Megah Shah Alam, 111 individu diperiksa dan 22 PATI ditahan.
  • SSM keluarkan kompaun RM7,000 selepas memeriksa 105 premis, manakala JPN semak 157 dokumen tanpa kesalahan dikesan.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Selangor (Kawalan), Mohmad Khusairi Kamarudin berkata operasi yang berlangsung dari pukul 11.00 pagi hingga 5.00 petang itu turut membabitkan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan sasaran premis perniagaan serta premis komersial yang dipercayai menggaji atau dikendalikan warga asing secara tidak sah.

Beliau berkata di sekitar Batu 3, Kapar dan kawasan stesen bas, Klang, seramai 1,143 individu diperiksa membabitkan kekuatan 256 anggota agensi penguat kuasa.

Hasil pemeriksaan itu, 73 PATI ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal dan India.

Sementara itu, operasi di gudang sebuah syarikat logistik dan perkhidmatan penghantaran ekspres (kurier) di Seksyen 28, Alam Megah, Shah Alam membabitkan 153 anggota penguat kuasa menyaksikan 111 individu diperiksa, dengan 22 PATI ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, India, Indonesia dan Pakistan.

Kesemua warga asing terbabit ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta menyalahgunakan pas lawatan.

Mereka dibawa ke bahagian penguatkuasaan JIM Selangor untuk tindakan lanjut.

Dalam operasi sama, SSM memeriksa 105 premis perniagaan dan mengeluarkan kompaun berjumlah RM7,000 atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 2016.

SSM turut memaklumkan siasatan diteruskan terhadap pemilik premis tempatan yang disyaki menyalahgunakan sijil pendaftaran perniagaan bagi membolehkan warga asing menjalankan perniagaan secara tidak sah.

Pada masa sama, JPN menjalankan semakan terhadap 157 individu membabitkan pemegang MyKad, MyPR dan sijil kelahiran bagi mengesan sebarang penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun, tiada pelanggaran peraturan dikesan dan semua dokumen yang diperiksa disahkan tulen.

Operasi bersepadu itu mencerminkan komitmen berterusan agensi penguat kuasa dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang serta membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin dan penyalahgunaan lesen perniagaan di negeri ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.