KPT tambah 21,000 kapasiti kolej kediaman IPTA

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menambah sebanyak 21,000 kapasiti kolej kediaman institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) sebagai langkah menangani isu kekurangan penempatan pelajar, khususnya golongan B40.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPT memberi keutamaan penempatan kolej kediaman kepada pelajar B40, Orang Asli, OKU, asnaf dan pelajar berkeperluan khas.
  • Usaha meningkatkan kemudahan kediaman pelajar akan diteruskan bagi memenuhi keperluan kohort pelajar setiap tahun.
  • KPT merancang perluasan akses pendidikan tinggi melalui pembangunan kampus baharu termasuk Pantai Timur Sabah untuk bidang strategik.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, jumlah itu merupakan tambahan baharu di luar kemudahan sedia ada dan akan dilaksanakan secara berterusan, mengambil kira kemasukan kira-kira 100,000 pelajar baharu setiap tahun ke universiti awam.

Beliau berkata, keutamaan penempatan kolej kediaman turut diberikan kepada pelajar Orang Asli, Orang Kurang Upaya (OKU), asnaf dan golongan berkeperluan bagi memastikan faktor kewangan tidak menjejaskan akses kepada pendidikan tinggi.

“Berkaitan pertambahan kira-kira 100,000 kemasukan pelajar baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) setiap tahun, perlu difahami bahawa setiap kohort pengajian mengambil tempoh sekitar empat tahun.

“Ini bermakna, setiap tahun juga dianggarkan seramai 100,000 pelajar akan menamatkan pengajian dan keluar daripada IPT, manakala kohort baharu akan menggantikan mereka,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, usaha kementerian untuk menyediakan kemudahan kediaman pelajar akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan semasa.

“Seperti yang dibangkitkan mengenai keperluan golongan B40, sebahagian besar pelajar yang memasuki IPT adalah daripada kumpulan tersebut.

“Justeru, kementerian sentiasa memberi keutamaan kepada golongan B40 dalam penempatan di kolej kediaman.

“Selain itu, keutamaan turut diberikan kepada pelajar Orang Asli, OKU, pelajar yang aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Kor Sukarelawan Siswa Siswi (SUKSIS), Kor Kesatria, serta pelajar daripada golongan asnaf dan mereka yang mempunyai keperluan khas,” katanya.

Menurut beliau, isu pelajar Sabah dan Sarawak yang melanjutkan pengajian di luar negeri asal pula perlu dilihat dari sudut akses kepada bidang pengajian kerana sesetengah kursus hanya ditawarkan di universiti tertentu.

Selain itu, KPT turut merancang memperluas akses pendidikan tinggi melalui pembangunan kampus baharu berdasarkan keperluan kawasan, termasuk potensi Pantai Timur Sabah dalam bidang strategik seperti ekonomi biru.