KPT perluas kerjasama GLC, GLIC tambah kapasiti kolej kediaman

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperluaskan kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi mempercepat pembinaan kolej kediaman universiti dalam usaha mengurangkan kebergantungan pelajar menyewa rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran: kolej kediaman menampung sekurang-kurangnya 70% pelajar prasiswazah sepenuh masa di universiti awam dan politeknik menjelang 2035.
  • Projek kolej kediaman baharu di USM, UMT, UMK, UTHM dan UMPSA kini hampir dimuktamadkan.
  • Di Universiti Malaya disediakan kolej baru untuk kira-kira 10,000 pelajar, UniSZA sekitar 5,000 pelajar.
  • Kapasiti ditingkatkan; UTeM daripada 5,000 ke 7,500, UniMAP daripada 4,000 ke 6,000 tempat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan itu melengkapi model kerjasama awam-swasta (PPP) dengan penekanan kepada penginapan berkualiti pada kadar mampu bayar.

“Sebagai contoh, di Universiti Malaya, kerjasama terkini dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) akan menyediakan kemudahan kediaman baharu untuk kira-kira 10,000 pelajar. Di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pula, kemudahan kediaman melibatkan kira-kira 5,000 pelajar.

“Dalam masa yang sama, kementerian turut membuka ruang kepada pendekatan yang lebih kreatif bagi meningkatkan kapasiti kediaman sedia ada. Ini termasuk memanfaatkan ruang yang masih boleh dibangunkan untuk menambah bilangan tempat penginapan.

“Sebagai contoh, di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), kapasiti kediaman pelajar akan ditingkatkan daripada 5,000 kepada 7,500 tempat. Begitu juga di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), kapasiti akan ditambah daripada 4,000 kepada 6,000 tempat. Ini merupakan antara pendekatan yang sedang kita laksanakan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mengenai inisiatif pihak kerajaan bagi membolehkan pemaju projek perumahan membina kediaman atau asrama pelajar dengan kadar sewa murah.

Datuk Seri Dr Zambry berkata, projek kolej kediaman baharu di Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kini di peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

Katanya, KPT menyasarkan kemudahan kolej kediaman dapat menampung sekurang-kurangnya 70 peratus pelajar prasiswazah sepenuh masa di universiti awam dan politeknik menjelang 2035.