12,974 calon SPMU 2026 menduduki peperiksaan mulai esok

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 13 Julai – Seramai 12,974 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) Tahun 2026 yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula esok di 188 pusat peperiksaan di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peperiksaan dijadual pada 14, 15 dan 16 Julai melibatkan Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.
  • 1,530 petugas mengendalikan Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu, manakala 1,366 ditugaskan untuk Ujian Bertutur.
  • Calon dikehendaki merujuk jadual, membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran muat turun dari SPPAT serta mematuhi SOP dan peraturan peperiksaan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan peperiksaan itu akan diadakan pada 14, 15 dan 16 Julai melibatkan tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.

Menurut KPM, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 1,530 petugas peperiksaan dilantik bagi mengendalikan Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu, manakala 1,366 petugas lagi ditugaskan untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu.

“Calon diminta merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat berkaitan tarikh, masa, kod serta kertas peperiksaan, selain mematuhi segala arahan yang ditetapkan sepanjang peperiksaan berlangsung.

“Selain itu, calon diminta membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. Pernyataan tersebut boleh dimuat turun menerusi Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian (SPPAT),” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, KPM turut mengingatkan calon agar mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan peperiksaan bagi memastikan proses pengurusan serta pengendalian SPMU Tahun 2026 berjalan lancar.