Awas perangkap langganan, RM20 sebulan ribuan ringgit setahun

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Caj langganan kecil berulang boleh menjadikan kos bulanan ratusan dan ribuan setahun jika tidak dipantau.
  • Memadam aplikasi tidak membatalkan langganan, batalkan melalui tetapan akaun atau semak penyata bank secara berkala.
  • Perlukan prinsip Klik untuk Langgan, Klik untuk Batal supaya pembatalan semudah pendaftaran dan melindungi pengguna daripada caj tanpa disedari.

Bayangkan anda hanya ingin mencuba satu aplikasi selama seminggu kerana tertarik dengan tawaran “percubaan percuma”. Proses pendaftaran mengambil masa kurang daripada dua minit. Anda memasukkan maklumat kad bank dan mula menggunakan perkhidmatan tersebut.

Selepas beberapa bulan, tanpa disedari, sejumlah wang terus dipotong daripada akaun setiap bulan walaupun aplikasi itu sudah lama tidak dibuka. Situasi inilah yang dikenali sebagai subscription trap atau perangkap langganan.

Dalam era ekonomi digital, model langganan menjadi pilihan utama banyak syarikat. Hari ini, pengguna membayar langganan untuk pelbagai perkhidmatan seperti Netflix, Disney+, Spotify Premium, Apple Music, Google One, aplikasi kecergasan atau pembelajaran bahasa dan pelbagai permainan video.

Kebanyakan perkhidmatan ini menawarkan nilai yang baik kepada pengguna yang benar-benar menggunakannya secara konsisten.

Namun, kemudahan ini boleh bertukar menjadi beban kewangan apabila pengguna terlupa bahawa langganan diperbaharui secara automatik. Bayaran RM20 sebulan mungkin kelihatan kecil dan tidak memberi kesan yang besar.

Tetapi jika seseorang mempunyai lima atau enam langganan yang jarang digunakan, jumlahnya boleh mencecah ratusan ringgit setiap bulan dan ribuan ringgit dalam tempoh setahun.

Sebagai contoh, seseorang mungkin melanggan Netflix untuk hiburan keluarga, Spotify Premium untuk muzik, Google One bagi storan gambar, Microsoft 365 untuk kerja, ChatGPT Plus untuk produktiviti, dan YouTube Premium bagi pengalaman tanpa iklan.

Kesemua langganan ini mungkin diperlukan pada awalnya. Namun, apabila keperluan berubah atau terdapat pertindihan fungsi, sebahagian daripadanya mungkin tidak lagi digunakan. Walaupun begitu, bayaran tetap diteruskan kerana pengguna terlupa membatalkannya.

Lebih membimbangkan, ramai pengguna menyangka bahawa memadam aplikasi daripada telefon sudah memadai untuk menghentikan langganan. Hakikatnya, kebanyakan langganan dikendalikan melalui kad kredit, kad debit atau akaun Apple App Store dan Google Play.

Selagi langganan tidak dibatalkan secara rasmi melalui tetapan akaun, bayaran akan terus dikenakan mengikut jadual pembaharuan.

Fenomena ini bukan semata-mata berpunca daripada kecuaian pengguna. Ada penyedia perkhidmatan yang menjadikan proses pendaftaran sangat mudah, tetapi proses pembatalan memerlukan lebih banyak langkah.

Ada juga yang menawarkan harga promosi atau percubaan percuma sebelum bertukar kepada kadar langganan biasa. Walaupun syarat tersebut lazimnya dinyatakan, pengguna yang tidak membaca atau tidak memahami terma berkenaan boleh terus dikenakan caj tanpa menyedarinya.

Persoalannya, adakah pengguna semata-mata yang perlu dipersalahkan? Atau adakah sudah tiba masanya kerajaan dan pengawal selia memperkukuh perlindungan terhadap pengguna dalam ekonomi digital?

Isu ini bukan lagi sekadar rungutan pengguna, malah telah menjadi perhatian pembuat dasar di beberapa negara. Di New York City, pentadbiran Datuk Bandar Zohran Mamdani memperkenalkan inisiatif “Click-to-Cancel Rule” sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kos sara hidup dan memperkukuh perlindungan pengguna.

Prinsipnya mudah tetapi signifikan: Jika pengguna boleh melanggan sesuatu perkhidmatan dengan beberapa klik, mereka juga mesti boleh membatalkannya dengan cara yang sama mudah.

Penyedia perkhidmatan tidak boleh memaksa pelanggan membuat panggilan telefon, menghantar surat atau melalui proses yang berbelit-belit semata-mata untuk membatalkan langganan.

Mereka juga diwajibkan memaparkan dengan jelas harga, pembaharuan automatik dan syarat langganan sebelum pengguna membuat keputusan.

Pendekatan ini menunjukkan bahawa perlindungan pengguna dalam ekonomi digital bukan sekadar bergantung kepada kebijaksanaan pengguna, tetapi juga memerlukan dasar dan penguatkuasaan yang memastikan amalan perniagaan dilaksanakan secara telus, adil dan bertanggungjawab.

Malaysia juga boleh mempertimbangkan pendekatan yang sama. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bersama agensi berkaitan seperti Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), boleh meneliti keperluan memperkenalkan prinsip “Klik untuk Langgan, Klik untuk Batal”.

Prinsip ini akan memastikan proses pembatalan semudah proses pendaftaran, sekali gus mengurangkan risiko pengguna terus dikenakan caj bagi perkhidmatan yang tidak lagi diperlukan.

Pada masa yang sama, pengguna juga perlu memainkan peranan. Membaca syarat langganan sebelum mendaftar, menyemak sama ada langganan diperbaharui secara automatic dan menetapkan peringatan sebelum tarikh pembaharuan.

Pengguna juga perlu menyemak penyata bank atau kad kredit secara berkala, serta membatalkan langganan yang tidak lagi diperlukan merupakan amalan pengurusan kewangan yang wajar dibudayakan.

Dalam dunia digital hari ini, ancaman terhadap kewangan bukan lagi terhad kepada penipuan atau jenayah siber. Kebocoran wang juga boleh berlaku secara perlahan melalui langganan yang tidak lagi digunakan. Nilainya mungkin kecil bagi setiap transaksi, tetapi kesannya boleh menjadi besar apabila dibiarkan berlarutan.

Dalam era digital, kebebasan pengguna bukan sekadar hak untuk melanggan, tetapi juga hak untuk membatalkan dengan mudah. Jika satu klik sudah memadai untuk melanggan, satu klik juga sepatutnya memadai untuk membatalkan.

Hanya dengan keseimbangan antara inovasi digital, tanggungjawab penyedia perkhidmatan dan perlindungan pengguna, ekonomi digital dapat berkembang secara lebih adil, telus dan mampan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

AHMAD YANI ISMAIL
Ahmad Yani Ismail
Pensyarah
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: ahmadyani@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.