fb fb fb fb fb

Razali Idris sudah beri keterangan berhubung tuduhan kenyataan berbaur penghinaan

Datuk Razali Idris ditemui pemberita selepas memberi keterangan di IPD Kemaman

KUALA LUMPUR, 21 November- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan dipercayai bersifat penghinaan terhadap sistem keadilan negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menerusi satu kenyataan berkata ADUN Kijal itu dipercayai mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan keputusan oleh Institusi Kehakiman dikawal oleh kerajaan.

“Beliau (Razali) dipercayai mengeluarkan kenyataan itu semasa Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PRK 040 di Kemaman, Terengganu 10 November lepas,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurutnya rakaman percakapan Razali dibuat bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Mohd Shuhaily berkata kenyataan Razali itu telah ditularkan oleh pengendali akaun TikTok ‘@WANCIN11’ pada 14 November lepas.

Beliau berkata kes disiasat bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes ini masih di peringkat siasatan dan PDRM mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi supaya tidak mengganggu proses siasatan,” katanya.

Susulan itu, kertas siasatan akan dilengkapkan dengan segera dan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat.

Rabu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis berhubung satu hantaran aplikasi TikTok yang dikatakan tidak tepat serta menjejaskan kepercayaan orang awam kepada sistem penguatkuasaan dan perundangan negara.

SPRM dalam kenyataannya memaklumkan Razali dirakam mengeluarkan beberapa tuduhan palsu menerusi hantaran dibuat pemilik akaun @WANCIN11.

Sementara itu, Razali ketika ditemui berkata sedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

"Saya dipanggil ke IPD Kemaman hari ini kerana berkaitan dengan ucapan saya semasa pelancaan jentera pilihanraya P040 pada 10 haribulan lalu, saya terikat dengan Akta Hasutan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Saya bagi kerjasama yang baik sepenuhnya, 16 soalan saya jawab dengan sempurna. Alhamdulillah,"katanya.

Razali tiba di IPD Kemaman pukul 10.00 pagi bersama peguamnya, Nizam Amin serta kira-kira 20 penyokong dan selesai memberi keterangan kepada pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman kira-kira setengah jam kemudian.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE