fb fb fb fb fb

Putih mata, kerani bank rugi RM115,950 terpedaya 'phone scam'

FOTO HIASAN

KUALA TERENGGANU, 23 Disember- Seorang kerani bank kerugian RM115,950 akibat diperdaya 'phone scam' atau sindiket penipuan melalui telefon yang menyamar sebagai polis dan pendakwa raya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa berumur 41 tahun pada 8 September lalu telah dihubungi  suspek yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan syarikat insurans dan mendakwanya mempunyai tiga tuntutan insurans.

Beliau berkata panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada suspek lain yang menyamar sebagai polis  dan pendakwa raya mendakwa mangsa terlibat dalam penggubahan wang haram.

Mangsa menafikan ada membuat tiga tuntutan insurans dan penggubahan wang haram seperti didakwa.

Bagi mengelak didakwa, mangsa diarahkan membuka akaun bank bagi tujuan siasatan.

Mangsa yang berasal dari Bukit Payong, Marang telah membuat enam transaksi berjumlah RM115,950 dalam tempoh 19 September hingga 30 November ke tiga akaun berbeza.

Bagaimanapun mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu petang semalam.

Sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan dan kad kredit.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE