Debut dinanti, Wan Kuzain sedia gegar Harimau Malaya

Foto RTM

SEPANG, 23 Julai – Penantian hampir tujuh tahun akhirnya berakhir buat pemain tengah, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal, apabila impiannya menyarung jersi Harimau Malaya menjadi kenyataan menjelang kempen Piala ASEAN 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wan Kuzain teruja, tidak berhenti tersenyum, sedia pamer aksi terbaik dan harap dapat debut dalam masa terdekat.
  • Beliau percaya skuad ada keseimbangan baik antara pemain berpengalaman dan muda walau beberapa tonggak utama tiada.
  • Persaingan penjaga gol semakin sengit; Azri Ghani, Rahadiazli dan Haziq bersaing sihat untuk tempat utama demi kemenangan pembukaan.

Pemain berpangkalan di Amerika Syarikat itu mengakui keterujaannya tidak terbendung sebaik melaporkan diri ke kem latihan pusat skuad kebangsaan, malah menyifatkan peluang tersebut sebagai detik paling bermakna dalam kariernya.

“Ia satu penantian yang sangat lama. Saya rasa saya tidak berhenti tersenyum sejak berada di sini. Memang satu perasaan yang hebat apabila dapat mewakili negara dan saya sudah tidak sabar untuk bermula.

“Saya sedia untuk pamerkan aksi terbaik, bukan sahaja kepada peminat, tetapi kepada diri saya sendiri selepas sekian lama menunggu saat ini.

“Harapnya saya dapat melakukan debut dalam masa terdekat dan peminat boleh jangkakan sesuatu yang positif,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Yangon, hari ini.

Wan Kuzain yang kini beraksi bersama kelab Sporting JAX, percaya skuad Harimau Malaya kali ini mempunyai keseimbangan yang baik antara pemain berpengalaman dan
pemain muda, meskipun ketiadaan beberapa tonggak utama.

Mengulas mengenai latar belakang bola sepaknya di Amerika Syarikat, pemain berusia 27 tahun itu berazam untuk menerapkan mentaliti pantang menyerah kalah dalam pasukan.

Dalam pada itu, persaingan merebut posisi penjaga gol utama negara turut mencuri tumpuan.

Penjaga gol Negeri Sembilan FC, Azri Ghani, menyifatkan persaingan antara dirinya dengan Rahadiazli Rahalim dan Haziq Aiman Esa sebagai satu cabaran yang sihat.

Tegas Azri, fokus utama adalah memberikan yang terbaik buat pasukan demi memastikan kemenangan pada aksi pembukaan menentang Myanmar.

“Sekarang pun dalam antara saya, Rahadi, dan Haziq bersaing dengan cukup baguslah. Tak tahu siapa lagi yang ambil tempat pertama. Jadi saya pun mengharapkan sesiapapun yang dapat peluang cuba buat yang terbaiklah untuk pasukan dan untuk diri kita sendirilah.” katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Laos, Thailand dan Filipina, dengan dua pasukan teratas layak ke separuh akhir.

Saingan Piala ASEAN 2026 dijadual bermula esok hingga 26 Ogos ini, dengan skuad Harimau Malaya dijangka membuka kempen menentang Myanmar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.