fb fb fb fb fb

Polis narkotik rampas syabu bernilai RM120,282 di Tawau

Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Tawau bersama barang bukti rampasan di sidang media hari ini/Foto PDRM Tawau

TAWAU, 2 Mei - Enam lelaki termasuk seorang warga tempatan ditahan bersama dadah disyaki jenis syabu seberat dua kilogram (kg) bernilai RM120,282 dalam satu serbuan di Kampung Inderasabah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Tawau kira-kira pukul 1.30 pagi selepas menerima maklumat awam mengenai aktiviti berkenaan.

Menurut Jasmin, semua suspek terbabit cuba melarikan diri namun gagal selepas dikepung oleh pasukan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

"Di dalam serbuan tersebut juga telah berjaya merampas sejumlah 2016.92 gram bahan disyaki dadah jenis syabu.

"Suspek terdiri daripada lima lelaki warga asing dan seorang warga tempatan berusia antara 20 hingga 46 tahun.

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine," katanya pada sidang media di IPD Tawau, di sini, hari ini.

Menurutnya, dadah dirampas itu dianggarkan boleh digunakan seramai 40,000 orang penagih dadah di daerah ini.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 9 Mei depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jasmi berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan rangkaian pengedaran dadah berkenaan dan memberi amaran keras tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah di daerah Tawau.

GRACE AISYAH KEDAYAN