KUALA TERENGGANU, 18 Mac- Seorang warga emas di sini mengalami kerugian RM62,109 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 73 tahun menerima mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) pada 28 Februari lalu, menawarkan peluang pelaburan dalam Online World Trading Developer Investment.
Azli berkata mangsa dijanjikan pulangan RM8,500 dalam tempoh 48 jam selepas membuat pelaburan awal sebanyak RM400.
Terpedaya dengan tawaran itu, mangsa membuat bayaran tambahan atas alasan kos pemprosesan dan upah sehingga melakukan 18 transaksi ke sembilan akaun berbeza menggunakan wang simpanannya.
Menyedari ditipu, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 1 petang semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.