SHAH ALAM, 9 Januari- Seorang peniaga kelapa dari Bangladesh, Salah Uddin, didakwa atas tuduhan memberi rasuah wang tunai berjumlah RM3,900 kepada seorang pegawai polis pada 1 Januari lalu di Mahkamah Sesyen.
Menurut pertuduhan, Salah Uddin, 34 tahun didakwa memberi suapan kepada seorang pegawai berpangkat Inspektor di Balai Polis Kuala Selangor sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap adiknya yang dipercayai terlibat dalam kes curi.
Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000.
Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Mohd Alimi Mustapha dan Mohd Arif Asyraf Khairi tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Namun, peguam yang mewakili tertuduh, N. Moganeysha, memohon agar anak guamnya diberi jaminan kerana beliau mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan lengkap, serta bekerja sebagai penjual kelapa di pasar awam.
Mahkamah menolak permohonan jaminan peguam dan menetapkan tertuduh ditahan di Penjara Sungai Buloh.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Februari depan.