fb fb fb fb fb

Peniaga kelapa didakwa rogol remaja 14 tahun

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 22 Disember-Seorang peniaga buah kelapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas tiga pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun, Julai lalu. 

Tertuduh, Loong Kam Faht, 35 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah merogol seorang perempuan berusia 14 tahun 7 bulan, pukul 10.30 pagi  pada 2, 9 dan 29 Julai lalu.

Kesalahan itu dilakukan di bilik sewa sebuah hotel di Taman Munsyi Ibrahim, Tampoi, Johor Bahru, Johor.

Bagi tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan sebatan. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syufri A. Samad  manakala tertuduh diwakili peguam Nur Farah Wahida Shahudin.

Mahkamah menetapkan 4 Februari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan  jaminan ditawarkan sebanyak RM20,000 berserta tiga syarat tambahan termasuk tidak mengganggu mana-mana saksi untuk ketiga-tiga pertuduhan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD