BUTTERWORTH, 26 Mac- Seorang lelaki etnik Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram serta amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 15 tahun, dua minggu lalu.
Tertuduh yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki berusia 40 tahun itu didakwa melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuannya di kediaman mereka di Pengkalan Machang, Sungai Dua pada 8 Mac lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memegang bahagian dada anaknya di lokasi sama pada 12 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta dua penjamin tempatan.
Tertuduh turut diperintahkan melapor diri di balai polis terdekat dan dilarang mendekati saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 April depan.