SUNGAI PETANI, 13 November - Polis mengesan seorang lelaki yang melarikan seutas rantai tangan emas bernilai RM20,000 dari sebuah kedai emas di Tikam Batu hari ini selepas berpura-pura ingin membeli barang kemas.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hanyan Ramlan, berkata laporan kejadian diterima daripada pembantu jualan kedai itu pada 1.41 tengah hari.
Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 12 tengah hari, ketika beberapa pelanggan lain turut berada di dalam premis.
"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dipercayai seorang lelaki tempatan yang memakai baju-T hijau dan bertopi," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek melarikan diri dengan berlari keluar sebaik pintu dibuka untuk seorang pelanggan lain meninggalkan premis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.