Pesawat bomba Greece bantu operasi padam kebakaran hutan di Sepanyol

Operasi memadam kebakaran di kawasan Burgohondo yang dapat dilihat dari kapal terbang lain/ REUTERS

BURGOHONDO, 27 Julai – Dua pesawat pemadam kebakaran CL-415 milik Greece yang dikerahkan ke Sepanyol menerusi Mekanisme Perlindungan Awam Kesatuan Eropah (UCPM), menyertai operasi memadam kebakaran hutan besar di kawasan Burgohondo, di sini kira-kira 115 kilometer barat Madrid, pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mekanisme Perlindungan Awam EU: Greece dan Itali hantar pesawat Canadair; Portugal gerakkan lebih 100 anggota tentera untuk bantu usaha pemadaman.
  • Diumum darurat perlindungan awam di wilayah tengah; peruntukan pemulihan tambahan akan disalurkan oleh kerajaan.
  • Lebih 150,000 hektar musnah sejak Januari; kebakaran meningkat skala dan intensiti akibat cuaca ekstrem, perlukan pendekatan berasaskan sains iklim.

Kementerian Krisis Iklim dan Perlindungan Awam Greece memaklumkan, pesawat berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara Torrejon berhampiran Madrid pada hari sama sebelum menjalankan operasi pemadaman kebakaran di kawasan terbabit sepanjang hari.

Menerusi mekanisme perlindungan awam Kesatuan Eropah (EU), Greece dan Itali masing-masing menghantar dua pesawat pemadam kebakaran jenis Canadair ke Sepanyol, manakala Portugal mengerahkan lebih 100 anggota tentera bersama peralatan berkaitan bagi membantu usaha memadam kebakaran.

Kementerian Dalam Negeri Sepanyol menerusi platform X memaklumkan, dua lagi pesawat akan tiba dari Turkiye “secepat mungkin” bagi menyokong operasi berkenaan.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata, kerajaan akan mengisytiharkan darurat perlindungan awam pada Selasa bagi wilayah tengah negara itu yang terjejas akibat kebakaran hutan, sekali gus membolehkan peruntukan pemulihan tambahan disalurkan.

Beliau berkata, lebih 150,000 hektar kawasan di seluruh Sepanyol telah musnah akibat kebakaran hutan sejak Januari lalu, iaitu enam kali ganda berbanding keluasan yang terbakar dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut Sanchez, walaupun kebakaran hutan sudah lama menjadi fenomena ketika musim panas di Sepanyol, peningkatan skala dan intensitinya akibat cuaca ekstrem yang semakin kerap memerlukan pendekatan berasaskan sains iklim dalam menangani isu berkenaan.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.