fb fb fb fb fb

Lelaki maut ditetak dalam pergaduhan di Klang

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar/foto BERNAMA

KLANG, 18 Disember – Polis mengesahkan seorang lelaki berusia lingkungan 34 tahun maut selepas dipercayai ditetak dalam satu kejadian pergaduhan di Taman Sentosa, Klang, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, dalam kenyataan memaklumkan Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan menerima maklumat daripada MERS 999 mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 11.10 malam.

"Mangsa merupakan warganegara Malaysia dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam peringkat siasatan," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.

Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, ASP Mohamed Syahrir Zabidi, di talian 012-665 0895 atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di 03-3376 2222.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI